IPOH: Seorang lelaki warga emas maut setelah kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas akibat dipercayai terkena serangan jantung di pembahagi jalan dekat Jalan Pasir Puteh, di sini pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, kemalangan membabitkan pesara warga tempatan berusia 62 tahun itu berlaku sekitar jam 9.50 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Lahat ke Ipoh dan apabila sampai di tempat kejadian dia dipercayai mengalami serangan jantung.

"Lalu kenderaan dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke atas pengadang batu dekat kawasan tiang lampu isyarat kiri berdekatan Station 18.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat serangan jantung," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Abang Zainal Abidin menambah, semakan rekod mendapati mangsa ada sejarah rawatan sebagai pesakit jantung.

Justeru, katanya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi proses bedah siasat.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan).

Beliau turut meminta saksi yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.